Thursday, April 29, 2010

Peperiksaan Pertengahan Tahun 2010

Peperiksaan Pertengahan Tahun 2010 akan menjelma dalam pertengahan bulan Mei, tinggal beberapa minggu lagi. Soalan adalah setara daerah dan digubal oleh JKD Sejarah. Pelajar-pelajar harap dapat bersedia untuk menghadapi soalan-soalan sejarah. Berikut merupakan bab-bab yang perlu diberi perhatian oleh pelajar untuk soalan sejarah pertengahan tahun ini:
  1. Bagi Tingkatan 1 - Bab 1 hingga Bab 5
  2. Bagi Tingkatan 2 - Bab 1 hingga Bab 11 (Tingkatan 1) & Bab 1 hingga Bab 4 (Tingkatan 2)
  3. Bagi Tingkatan 3 - Semua bab Ting. 1 & Ting. 2. Bab 1 hingga Bab 4 (Tingkatan 3)
  4. Bagi Tingkatan 4 - Bab 1 hingga Bab 4
  5. Bagi Tingkatan 5 - Semua Bab Ting. 4 & Ting. 5 (Bab 1 hingga Bab 5)

Diharap pelajar dapat membuat persediaan supaya lebih bersedia menghadapi peperiksaan tersebut. Bagi pihak Panitia Sejarah, mengucapkan semoga berjaya kepada semua calon. Lakukan yang terbaik untuk dapat yang terbaik

Makam Kucing Bertanduk

Sultan Mahmud Shah II ada memelihara seekor kucing dan amat menyayangi kucing tersebut. Baginda menamakan kucing tersebut sebagai 'Si Comel'. Ia merupakan kucing biasa tetapi mempunyai sepasang tanduk di atas kepalanya. Ada berpendapat tanduk tersebut hanyalah benjolan yang tumbuh di atas kepalanya. Di sebalik tanduk ini, Si Comel memiliki keistimewaannya tersendiri iaitu gemar memakan sayur-sayuran dan tidak memakan daging. Ia juga tidak berjalan di atas tanah, sebaliknya berjalan di atas bumbung-bumbung rumah. Terdapat satu lagi keistimewaan Si Comel yang amat dikagumi penduduk setempat iaitu ia mampu mengesan musuh-musuh yang mahu menyerang Kota Tinggi. Si Comel ini akan membuat 'onar' (bunyi bising) untuk memberitahu penduduk setempat tentang hal kedatangan musuh. Si Comel telah mati secara tiba-tiba kira-kira seminggu sebelum Sultan Mamud Shah II mangkat. Baginda amat dukacita atas kematian Si Comel lalu menitahkan supaya 'mengebumikan'nya dan meletakkan dua biji batu bulat sebagai tanda. Kubur Si Comel ini terletak bersebelahan makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dan dipelihara sebagai satu tinggalan sejarah. Menarik bukan? Kisah sebenar yang berlaku tetapi tidak ramai yang ketahuinya... Jadi selepas ini tiada lagi pepatah Melayu 'menunggu kucing bertanduk'.

Wednesday, April 28, 2010

Kota Makam Tauhid



Terletak kira-kira 2 km dari bandar Kota Tinggi dan berhampiran dengan Sungai Pemandi yang mengalir ke Sungai Kota Tinggi. Nama "Kota Makam Tauhid" pada asalnya bukanlah nama bagi makam tetapi merupakan nama ibu negeri kerajaan Johor suatu masa dahulu. Kota Makam Tauhid merupakan ibu negeri Johor yang ke-8 dan bertempat di tanah besar serta menjadi pusat pemerintahan kerajaan Johor sebanyak dua kali. Sejarah membuktikan Kota Makam Tauhid menjadi ibu negeri Johhor buat kali pertama pada tahun 1623 iaitu semasa pemerintahan Sultan Abdul Jalil Shah III (1623-1677). Kota ini kemudiannya dijadikan sebagai tanah perkuburan para pembesar Johor hingga menimbulkan kekeliruan tentang asal usulnya yang kemudiannya dikenali sebagai Kota Makam Touhid.

Tuesday, April 27, 2010

Melewati Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang





Gambar ini merupakan Makam Sultan Mahmud Shah (Sultan Johor yang ke-10). Makam ini terletak di dalam kawasan Masjid Kg. Makam, terletak kira-kira 3km dari bandar Kota Tinggi. Dalam sejarah kerajaan Johor ada menceritakan Sultan Mahmud Shah dilantik sebagai Sultan ketika berumur 10 tahun. Baginda mangkat pada usia 24 tahun dipercayai ditikam oleh Laksamana Bentan. Baginda ditikam ketika dijulang untuk dibawa ke masjid menunaikan solat Jumaat. Menurut pegawai yang bertugas, sumpah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang ini masih lagi berlaku hingga hari ini. Sumpahan yang pertama adalah keturunan darah Bentan tidak boleh menjejaki kaki ke Kg. Makam (sumpah ini sudah berlalu 7keturunan namun mungkin saki baki sumpahan masih ada lagi hingga kini) dan sumpahan yang kedua adalah aliran Sg. Johor bertentang arus. Baginda merupakan keturunan terakhir Raja Fatimah dan cucu kepada Sultan Alauddin Riayat Shah II (Raja pertama yang membuka Johor Lama tahun 1530)

Monday, April 26, 2010

Asal Usul Orang Melayu

Dalam buku Sejarah Melayu disebut bahwa Melayu adalah nama sungai di Sumatera Selatan yang mengalir disekitar bukit Si Guntang dekat Palembang. Si Guntang merupakan tempat pemunculan pertama tiga orang raja yang datang ke alam Melayu. Mereka adalah asal dari keturunan raja-raja Melayu di Palembang (Singapura, Malaka dan Johor), Minangkabau dan Tanjung Pura.

Sejarah Melayu (Malay Annals) merupakan karya tulis yang paling penting dalam bahasa Melayu yang merupakan sumber yang otentik untuk informasi mengenai ke-Melayu-an. Disusun sekitar tahun 1612 tetapi didasarkan catatan-catatan yang lebih tua.

Disebut juga bahwa anggota kerajaan Malaka menyebut diri mereka keturunan Melayu dari daerah Palembang. Seperti keluarga raja-raja di Negeri Sembilan yaitu: Yang Dipertuan Ali Alamsyah yang dianggap keturunan langsung dari Raja Minangkabau terakhir.

Pada waktu itu sebutan Melayu merujuk pada keturunan sekelompok kecil orang Sumatera pilihan. Seiring dengan berjalannya waktu definisi Melayu berdasarkan ras ini mulai ditinggalkan.

Definisi Melayu menjadi berdasarkan budaya dan adat, dimana orang Melayu adalah orang yang mempunyai etika, tingkah laku dan adat Melayu. Pada waktu Islam mulai dianut didaerah Sumatera dan Semenanjung Malaka, keyakinan dan ketaatan terhadap agama islam menjadi salah satu ciri khas dari orang Melayu.

Pada abad ke-18, William Marsden menyebutkan bahwa dalam percakapan sehari-hari, penyebutan bangsa Melayu adalah sama dengan sebutan bangsa Moor di India dalam artian ketaatannya terhadap agama Islam.

Fakta ini diperoleh dari sumber:
http://pelaminanminang.com/fakta-menarik/sejarah-asal-usul-orang-melayu.html

Panduan mudah Folio Sejarah Tingkatan 1

Bagi pelajar yang ingin panduan mudah untuk membuat folio sejarah tajuk Sejarah Diri & Keluarga, boleh download link di bawah:


http://www.4shared.com/file/iuuk2cTP/FORMAT_PENULISAN_FOLIO_SEJARAH.html

Friday, April 23, 2010

Gambar sepanjang aktiviti eskavasi di lapangan Kota Johor Lama, Kota Tinggi

Tapak eskavasi yang tidak diketahui lagi adakah kubu ataupun kubur. Pihak Yayasan Warisan masih lagi dalam kerja penggalian untuk mengetahui apakah yang terkandung di bawah busut ini. Menurut orang sekitar, mungkin terdapat harta karun yang ditanam masa Kerajaan Melayu Johor. Harta tersebut ditanam mungkin hendak mengelakkan daripada dirampas oleh Portugis yang menyerang Kota Johor Lama.

Struktur batuan yang kelihatan setelah penggalian dilakukan. Dikatakan terdapat pelbagai jenis struktur batuan yang dikenalpasti yang menunjukkan terdapat binaan manusia, tidak mungkin jenis batu yang pelbagai itu terjadi dengan semulajadi. Berdasarkan pengamatan, terdapat batu yang berwarna merah, hijau gelap dan sebagainya. Batu tersebut juga mempunyai saiz yang berbeza, ada yang besar, ada yang leper, ada yang empat segi tepat dan empat segi sama.

Dapat dilihat dengan jelas binaan batu yang tersusun membentuk seolah-olah dinding. Gambar ini dirakam setelah ahli arkeologi melalukan kerja-kerja menggali tanah yang kelihatan seperti busut. Penemuan ini menjadikan peserta lebih berminat untuk mengetahui apakah sebenarnya binaan yang terdapat di bawah busut tersebut.

Antara artifak yang ditemui adalah serpihan tembikar yang dikatakan berasal dari Timur Tengah. Banyak artifak yang mudah ditemui di kawasan tersebut malahan mata wang emas masih lagi ditemui oleh penduduk tempatan.

Tapak eskavasi adalah kawasan larangan. Ini bagi memudahkan kerja-kerja penggalian dapat dilakukan dengan mudah. Lantaran itu, peserta program beruntung kerana dapat 'melepasi' garis merah ini dan seterusnya melakukan kerja-kerja eskavasi sendiri.

Thursday, April 22, 2010

Siri kedua Arkeologi Sungai Johor



Berikut adalah rakaman hari kedua Program Arkeologi Sungai Johor (Fasa 1)tahun 2010. Banyak aktiviti menarik dan menyeronokkan yang diadakan tambahan hubungan antara peserta mula terjalin..

Sunday, April 11, 2010

Sebahagian rakaman sepanjang Program Arkeologi Sungai Johor (Fasa 1) 2010



Sedikit rakaman yang dapat dikongsi untuk tatapan semua. Vedio menunjukkan aktiviti menyelusuri sepanjang Sungai Johor, menjejaki kembali pusat pemerintahan kerajaan Kesultanan Melayu Johor. Bangunan istana sudah tidak wujud lagi dek kerana dimakan zaman, namun tapak bersejarah masih lagi kelihatan dan kini dalam proses pemuliharaan oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ). Peserta yang terdiri daripada 42org pelajar, 6org guru disertai sekali oleh En. Suharman (PPD) dibawa oleh pegawai YWJ untuk melawat makam-makam sultan yang memerintah Johor serta makam pembesar. Perjalanan sepanjang sungai amat mempersonakan, dapat dilihat juga di tebing sungai kubu pertahanan yang dibina dan digunakan dalam Perang Dunia Kedua...

Wednesday, April 7, 2010

PROGRAM ARKEOLOGI SUNGAI JOHOR

2-4 April lalu, 5org murid (NABIHA SOFIAN, NUR SYAFEEZA, SITI NUR 'AZUWA, ONG YEE ROSE & LOO JING YING) diiringi seorang guru (HASLINA MOHD. ISMAIL) dijemput untuk mengikuti program anjuran YAYASAN WARISAN JOHOR di Kota Tinggi. Peserta telah menginap di Hotel Myres, Kota Tinggi sebelum dibawa menyelusuri sepanjang Sungai Johor. Peserta didedahkan dengan pusat-pusat pemerintahan Kerajaan Johor Lama dan melawat makam-makam sultan yang memerintah zaman tersebut.
Setelah menyelusuri Sungai Johor, tepat jam 2 petang, peserta tiba di Jeti Kota Johor Lama dan menginap di Bob Homestay. Di Kota Johor Lama, terdapat pusat pemerintahan kerajaan Kesultanan Melsyu Johor serta kota kubu pertahanan.peserta boleh melihat sendiri kubu pertahanan yang dibina oleh Kerajaan melayu johor yang masih wujud kukuh hingga hari ini.
Peserta juga didedahkan dengan kaedah arkeologi untuk mendapatkan bahan tinggalan yang tertanam di dalam tanah. Peserta sendiri boleh menjumpai artifak-artifak lama di tapak arkeologi. Peserta dibawa ke tapak arkeologi yang masih belum dikaji lagi, tidak dapat dipastikan adakah ianya kubu pertahanan atau pun kubur/makam.
Keseronokan dan kepuasan terpancar di wajah setiap peserta semasa majlis penutupan. Guru pengiring diberi cenderahati, dan peserta yang menang diberi hadiah. Program ini memberi impak yang besar kepada peserta kerana tidak ramai yang mengatahui bahawa Kota Tinggi merupakan tapak tinggalan sejarah yang bermakna, seperti juga kota Melaka. Peserta dapat mengalami sendiri pengalaman yang tidak berharga semasa mengikuti PROGRAM ARKEOLOGI SUNGAI JOHOR FASA 1 TAHUN 2010.
Terima kasih diucapkan kepada pihak YAYASAN WARISAN JOHOR, BAHAGIAN PEMUZIUMAN KOTA TINGGI kerana telah menjemput kami untuk menghadiri program tersebut.

Banyak lagi ilmu dan gambar yang menarik untuk dikongsi bersama. Ikuti kisah dan dapatan peserta sepanjang program pada akan datang....