Wednesday, July 21, 2010

Catatan perjalanan ke Candi Pengkalan Bujang



Asalnya tapak ini di Kampung Pengkalan Bujang, Merbok dan terletak di tebing sebelah timur Sungai Bujang. Candi ini ditemui berkembar dengan tapak 22 Candi Pengkalan Bujang. Pada tahun 1976 dan 1977 candi ini telah dibina semula dan dipindahkan ke kawasan Muzium Arkeologi Lembah Bujang oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti.

Candi ini mengandungi sebuah struktur yang berbentuk stupa lapan penjuru yang mengarah timur laut. Struktur candi ini secara keseluruhannya terdiri daripada batu bata sebagai binaan asas bangunan. Berdasarkan jumpaan paku besi dan asas pelapik tiang yang ditemui membuktikan bahagian badan candi ini diperbuat daripada kayu. Walau bagaimanapun, arah tangga yang terdapat tidak menunjukkan seperti mengarah memasuki ke bangunan candi. Candi ini mempunyai lubang di bahagian tengah.

Antara jumpaan menarik di tapak candi ini adalah patung terrakota Buddha, patung terrakota berbentuk gajah, patung Boddhisatwa, patung gangsa, kepala kala, cincin emas, subang, batu berukir huruf Pallava, paku besi dan manik dari kaca.

Penemuan arkeologi ini membuktikan bahawa candi Pengkalan Bujang merupakan Candi Buddha yang dibina sekitar kurun ke-11 masihi hingga kurun ke-12 masihi.

Thursday, July 15, 2010

Candi Bukit Batu Pahat, Lembah Bujang

Inilah Bukit Batu Pahat, terletak di Lembah Bujang, Kedah

Catatan ini adalah berdasarkan pengalaman dan bacaan yang dilakukan oleh penulis untuk tatapan pembaca semua. Candi Bukit Batu Pahat merupakan candi induk kepada candi-candi di Lembah Bujang. Runtuhan candi ini telah dibina semula di tempat asalnya pada tahun 1960. Seni bina ini berunsur Hindu Siva dengan Vimana dan Mandapa sebagai strukturnya.
Bahan binaan utamanya ialah batu granit yang dipahat di batu hampar yang terdapat di tebing sungai Merbok Kecil berhampiran tapak ini. Penyelidikan arkeologi menunjukkan atap candi diperbuat daripada daun nipah.

Antara jumpaan menarik dan penting yang ditemui di tapak ini termasuklah lapan buah cepu batu bertutup yang berisi abu mayat. Terdapat juga bahan pemujaan berupa peripih daripada emas, perak dan tembaga dengan imej nandi, lingga, bunga teratai, kura-kura dan dewi sedang duduk. Penemuan tersebut membuktikan tapak candi ini merupakan candi yang berunsurkan tantrik kepada ajaran Hindu dan pemujaan sakhti.

Quatrich Wales memberikan tarikh candi ini dibina pada abad ke tujuh hingga ke lapan masihi. Walau bagaimanapun, kalangan Sarjana lebih cenderung mencadangkan Candi Bukit Batu Pahat dibina sekitar kurun ke 12 masihi dan kurun ke 13 masihi sebagai tarikh yang lebih tepat.

Di belakang penulis adalah kawasan batu hampar, tempat batu granit dipahat dan digunakan untuk membina candi

Sunday, July 4, 2010

Lawatan ke Lembah Bujang, Kedah

Pada cuti sekolah yang lalu, penulis telah menjejaki kesan tapak candi yang terdapat di Lembah Bujang. Perasaan ingin tahu menyebabkan penulis bersama sorang rakan telah melakukan kajian terhadap kawasan tersebut. Terdapat sebuah muzium dibina bagi memudahkan pengunjung mendapatkan informasi tentang kawasan tinggalan sejarah tersebut. Disekelilingnya pula terdapat beberapa candi yang telah dibina semula bagi tatapan pengunjung. Hanya Candi Bukit Batu Pahat saja yang tidak diubah kedudukannya kerana hasil kajian arkeologi, Canti Batu Pahat merupakan candi utama bagi candi-candi kecil yang lain. Berikut merupakan petikan daripada sumber Arkib Negara tentang L:embah Bujang.

Lembah Bujang merupakan kawasan yg terkenal sejak kurun pertama masihi lagi dan menjadi tempat persinggahan yg penting bagi pedagang India utk ke negeri China dan sebaliknya. Gunung Jerai pula menjadi pedoman penting bg kapal dagang yg memasiku Sungai Merbok di kawasan Lembah Bujang. Di sinilah membangunnya Lembah Bujang sbg sebuah kawasan pusat pentadbiran dan perkembangan agama Hindu-Budha masa dahulu.

Antara kesan tinggalan sejarah di Lembah Bujang yg merangkumi kawasan seluas 224 km persegi ini adalah candi-candi dan artifak-artifak pemujaan agama Hindu-Budha. Beberapa buah candi telah ditemui spt Candi Pengkalan Bujang, Candi Bukit Batu Pahat, Candi Pendiat dll.







Candi batu Pahat dipercayai dibina dalam kurun ke-6 masihi. Penemuan ahli arkeologi menunjukkan candi ini dibina menggunakan batu-batu pejal.