Wednesday, July 21, 2010

Catatan perjalanan ke Candi Pengkalan Bujang



Asalnya tapak ini di Kampung Pengkalan Bujang, Merbok dan terletak di tebing sebelah timur Sungai Bujang. Candi ini ditemui berkembar dengan tapak 22 Candi Pengkalan Bujang. Pada tahun 1976 dan 1977 candi ini telah dibina semula dan dipindahkan ke kawasan Muzium Arkeologi Lembah Bujang oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti.

Candi ini mengandungi sebuah struktur yang berbentuk stupa lapan penjuru yang mengarah timur laut. Struktur candi ini secara keseluruhannya terdiri daripada batu bata sebagai binaan asas bangunan. Berdasarkan jumpaan paku besi dan asas pelapik tiang yang ditemui membuktikan bahagian badan candi ini diperbuat daripada kayu. Walau bagaimanapun, arah tangga yang terdapat tidak menunjukkan seperti mengarah memasuki ke bangunan candi. Candi ini mempunyai lubang di bahagian tengah.

Antara jumpaan menarik di tapak candi ini adalah patung terrakota Buddha, patung terrakota berbentuk gajah, patung Boddhisatwa, patung gangsa, kepala kala, cincin emas, subang, batu berukir huruf Pallava, paku besi dan manik dari kaca.

Penemuan arkeologi ini membuktikan bahawa candi Pengkalan Bujang merupakan Candi Buddha yang dibina sekitar kurun ke-11 masihi hingga kurun ke-12 masihi.

No comments:

Post a Comment