Sunday, August 29, 2010

Apa Erti Kemerdekaan Pada Kita Hari Ini?

Bentuk-bentuk perjuangan pada hari kini telah berubah dari masa ke masa. Jika dahulu sewaktu negara kita dijajah, pemimpin-pemimpin tempatan berusaha mengembalikan semula kedaulatan Tanah Melayu hingga sanggup korbankan nyawa dan harta benda. Banyak usaha telah dilakukan oleh tokoh pejuang negara bagi mendapatkan kemerdekaan negara. Perwira banyak terkorban di medan perjuangan demi anak bangsa yang merdeka. Tidak ketinggalan golongan wanita yang dominan sebagai kaum yang lemah juga mengangkat senjata dan dengan berani mempertahankan maruah bangsa, tanpa gentar pada peluru-peluru yang tidak bermata serta hujan bom yang mengerikan. Tiada kata yang dapat digambarkan betapa peritnya perjuangan mereka hanya semata-mata hendak memastikan generasi kini mendapat keamanan dan kesejahteran.
Itu bentuk perjuangan waktu dahulu..
Kini bentuk perjuangan kita telah berubah...
Hari ini kita tidak perlu lagi penderitaan itu semua, kita lahir di bumi yang sudah sedianya merdeka, aman, maju dan makmur. Segala kemudahan telah ada, bekalan elektrik, jalan raya, makanan, tempat tinggal, malah bukan itu sahaja rezekinya. Jadi apa perlunya kita berjuang demi negara? Malangnya inilah yang bermain di minda anak generasi sekarang. Mereka terlalu disogokkan dengan pelbagai macam kesenangan dan kemewahan hingga tidak pernah mengenal erti kesusahan dan penderitaan. Sungguh, kesenangan itu membinasakan..
Namun tidak semua generasi kini bersifat pentingkan diri sendiri, ada juga kesedaran yang timbul jauh di sudut hati. Hari ini kita berjuang dengan cara yang baru, tidak perlu berkorban nyawa namun cabarannya semakin berat. Mempertahankan maruah negara adalah satu tanggungjawab yang bukan hanya menghormati lagu Negaraku, bukan hanya mengingat Rukun Negara dan bukan hanya mengibarkan Jalur Gemilang, malah lebih dari itu!! Walau apa pun yang kita lakukan hari ni, ke mana pun kita pergi hari ini maruah negara hendaklah dipelihara, terlalu subjektif hendak dihuraikan.
Walaupun terlalu subjektif, namun kita boleh lakukan dengan cara yang paling mudah! Jangan menghina negara, sentiasa berusaha memajukan diri untuk memajukan negara, belajar bersungguh-sungguh dan jadilah pemimpin berwawasan, bangunkan ekonomi kita supaya negara-negara luar hormat pada Malaysia. Ada banyak lagi sebenarnya yang kita boleh lakukan...
Salam Kemerdekaan pada semua pembaca...!!

No comments:

Post a Comment